Pas utama program kebajikan

>> Wednesday, July 20, 2011



KUALA PILAH – Pas Kuala Pilah terus membantu dan mempergiat gerak kerja kebajikan rakyat, di sini demi kesejahteraan bersama.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Zaharuddin Othman berkata, mereka bergerak dari rumah ke rumah bagi membantu mengurangkan masalah rakyat miskin di Kuala Pilah yang masih lagi pada tahap belum memuaskan.

Menurutnya, rakyat miskin di Kuala Pilah adalah tertinggi berbanding daerah lain di Negeri Sembilan.

“Sebanyak 24 peratus daripada jumlah kadar kemiskinan di Negeri Sembilan seperti dikeluarkan Laman Web Rasmi Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Negeri Sembilan.

“Atas kesedaran, keprihatinan dan tanggungjawab, Pas Kuala Pilah giat melaksanakan program Kebajikan Bersepadu dalam membantu masyarakat memerlukan,” katanya.

Zaharuddin berkata, program bersepadu itu adalah kesinambungan program sebelum ini.

“Salah satunya ialah program turun padang menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), orang sakit, warga emas dan ibu tunggal.

“Di samping itu, kami akan membuka Pusat Khidmat di markas Pas Kuala Pilah dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menerima serta menangani masalah yang dihadapi masyarakat setempat di DUN tersebut,” katanya.

Malah katanya, program bersepadu itu juga melibatkan khidmat sosial seperti gotong-royong membersihkan kawasan rumah, membaiki komputer, khidmat tuisyen dan lain-lain.

“Program ini selaras dengan motto Negara Berkebajikan yang didukung Pas dan merupakan penterjemahan secara praktikal makna motto tersebut.

“Pas prihatin dan mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik serta akan terus membantu mereka agar dapat merasai hidup lebih bermakna sama seperti rakyat lain,” katanya.

Justeru itu, sebagai permulaan, Pas Kuala Pilah telah turun padang memberikan sumbangan kepada individu di DUN Senaling.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan, Abd Karim Shahimi Abd Razak; Bendahari Pas Kawasan Kuala Pilah Shaharudin Abd Rahman; Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat Pas Kawasan, Noorbibah Mahmud dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Pilah. Rosidi Yusof.

Sinar Harian turut difahamkan, sumbangan ini akan diteruskan secara berkala dan akan dipergiatkan pada Ramadan yang akan datang serta membantu mereka yang memerlukan untuk menyambut Aidilfitri

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9354374.asp

0 comments:

..
Powered by Blogger.

Lorem Ipsum

© 2010 Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan

Blog ini dikendalikan oleh Lujnah Penerangan & Dakwah Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan di bawah Unit IT DMPNS. Segala maklumat boleh disalurkan ke halwan9@yahoo.com

  © Free Blogger Templates Joy by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP